KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, beliau hanya menjadi penyelaras bagi mencari penyelesaian jika berlaku permasalahan dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) terutama di Sabah.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, antara permalasahan yang mungkin berlaku ialah antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi berkaitan atau di peringkat kerajaan negeri.
Justeru, beliau harus menyelaras dan untuk LPB Sarawak, fasa pertama sudah mencapai hampir 98 peratus siap, katanya selepas Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Hikmah, Petra Jaya di sini.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai arahan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau menyelaras kerja-kerja LPB di Sabah dan Sarawak.
Fadillah menegaskan, apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah lebih kepada menyelaras kerana yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan LPB itu ialah Kementerian Kerja Raya di bawah Dato Sri Alexander Nanti Linggi untuk mengurus keseluruhan prosesnya.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri telah melihat perkembangan kerja-kerja pembinaan LPB itu dan menzahirkan rasa puas hati, katanya.
Beliau berkata, LPB Sabah masih menjadi cabaran kerana daripada 35 pakej, ada lebih kurang 18 lagi yang bakal ditender dan cabaran terbesar ditempuhi apabila berlakunya wabak Covid-19 pada 2020 dan 2021.
Satu lagi cabaran dalam melaksanakan LPB itu, tambahnya, ialah isu berkaitan tanah dan utiliti dan kerja-kerja pengalihan utiliti mengambil masa untuk disiapkan.
Mengenai Sabah-Sarawak Link Road, beliau berkata, fasa seterusnya masih dalam proses penilaian dan sedang dilaksanakan, dipanggil sebagai lab (makmal).
Beliau berkata, makmal sedang dimuktamadkan di peringkat KKR dan apabila makmal sudah disempurnakan, proses menender akan menyusul dan mencadangkan kepada KKR dan Kementerian Kewangan mengenai kaedah kadar perolehannya.
Sumber dari : Jiwa Bakti